PERINGATAN :

Komen TanpaNama (Anonymous) tidak dibenarkan. Sila letak nama samaran anda.


Friday 2 October 2015

POLITIK MENAMBAH RESAH RAKYAT YANG DIHIMPIT EKONOMI

Pasca pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet dan Timbalan Presiden UMNO tanggal 2hb. September 1998 menyaksikan lanskap politik Malaysia telah melalui perubahan yang begitu drastik. Rakyat terheret sama mengharungi liku-liku perjuangan dalam politik Malaysia. Sekaligus mendidik lebih ramai rakyat untuk lebih celik politik. Namun politik yang tidak berkesudahan dan berpanjangan selama lebih 16 tahun sehingga kini, pada tahun 2015 telah mula meresahkan rakyat. Rakyat semakin terhimpit bukan sahaja akibat politik dalam Negara malah semakin lemas dan rimas dengan kebobrokan pemerintahan UMNO BN serta kebejatan ekonomi akibat tangan-tangan rakus pemimpin-pemimpin yang diangkat oleh 47% pengundi pada PRU13 yang lalu.


POLITIK PARTI PEMERINTAH MERESAHKAN RAKYAT

Politik dalaman UMNO begitu membarah akibat dari kelompok Najib (yang hanya membentuk minoriti dalam UMNO) yang masih mempertahankan bos mereka untuk terus bergayut pada kuasa adalah antara faktor mengheret rakyat kepada politik aktif. Tindakan mereka secara relatifnya menyebabkan rakyat mula resah dan peduli politik. Semakin hari semakin ramai “netizens” atau warga siber begitu rancak meluahkan rasa tidak puas hati mereka melalui media sosial seperti facebook, whatsapp, instagram dan lain-lain. Tidak kurang juga dgn bloggers. Kesemua ini mampu membentuk persepsi dan aliran pemikiran rakyat marhaen bermaklumat justeru menjadikan media arus perdana hilang pengaruh dan relavansinya. Realiti Politik Malaysia bagi rakyat adalah “A Need To Know Basis”, sejak dahulu persepsi begitu galak dimainkan oleh UMNO BN bagi mengalih dari isu sebenar sambil meraih sokongan. Sehinggakan begitu ramai yang masih belum sedar akan kepincangan dan urus tadbir Najib yang lemah serta mengheret Negara kepada kerosakan ekonomi. Meskipun kini disedari ia kelihatan sangat sukar untuk diatasi. Politik, kuasa dan ekonomi sangat berkait rapat.

Kedurjanaan dalam berpolitik, penyalahgunaan kuasa bagi memperkayakan kroni, merompak hasil negara, urus tadbir yang pincang, rasuah yang bermaharaja lela mengundang kepada masalah ekonomi yang akhirnya menghimpit rakyat. Bagi yang sedar mereka bangun menentang dan menjadi lebih cakna serta peduli dengan politik. Bagi yang berada dalam zon selesa, mereka masih bermimpi indah, kurang sedar, enggan peduli atau masih yakin UMNO BN mampu mentadbir negara. Dalam keasyikan dan mimpi di siang hari akibat dari sajian isu-isu yang mengalihkan pandangan dari isu utama yang membarah, satu persatu mula tersingkap dan “power struggle” dalam UMNO mula kelihatan di permukaannya. Itulah perancangan Allah SWT dan semuanya dalam ilmu Dia…Yang Maha Berkuasa.

Pergelutan kuasa dalam UMNO yang merupakan parti tunjang Barisan Nasional semakin parah. Lain-lain parti komponen BN seolah-olah terkedu dan kelu dengan masalah ini sementelah mereka sendiri mempunyai masalah dalaman yang menanti masa untuk “meletup”. Ianya umpama bom jangka. Kekalutan dalam UMNO membarah berpunca dari keterlibatan Najib dan konco-konconya dalam skandal kewangan terbesar abad ini, malah tersohor dan termahsyur seantero dunia iaitu 1MDB. Meskipun usaha MP pembangkang sebelum ini terutama Rafizi Ramli (PKR)  dan Tony Phua (DAP) untuk membangkitkan isu 1MDB ini ianya kelihatan hanya diberi perhatian oleh pihak pembangkang dan penyokong-penyokongnya sahaja. Penyokong UMNO BN memandang sepi kerana ‘spin masters” UMNO BN acapkali berjaya membelit dan memutarkan isu ini SEOLAH-OLAH ianya sekadar isu fitnah yang sengaja dibangkitkan oleh pembangkang. Namun, hari demi hari rakyat melihat kesan “politik rompakan” durjana. Urus tadbir pincang yang masih menobatkan Dinasti Kodi mengakibatkan negara menghadapi kemelut ekonomi serta penyusutan nilai ringgit akibat "TRUST DEFICIT" yang dihadapi oleh pentadbiran Najib.

Bertolak  dari keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) untuk menegur Najib secara terbuka,  rakyat yang sedang “lena” mula membuka mata. Namun masih ramai penyokong UMNO BN masih menguap dan enggan bingkas bangun dari tidur di siang hari. Asakan demi asakan ke atas pentadbiran Najib terutama isu 1MDB oleh bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu mula kelihatan keras. Tindakan itu mula mencelikkan mata penyokong-penyokong UMNO BN akan kebobrokan politik dan kuasa yang bakal mengheret Malaysia ke kancah kegawatan ekonomi. Usaha Tun M pada mulanya dipandang sepi oleh ramai pihak termasuklah penyokong-penyokong pembangkang kerana merasakan Tun M mempunyai agenda peribadi dan untuk menyelamatkan UMNO BN semata-mata. Tiada nilai patriotik diberikan kepada Tun M.

Adakah hakikat sebenar lebih dari itu? Bukan sahaja bagi menyelamatkan Malaysia dari terjebak dalam kerosakan ekonomi yang sukar dipulihkan, malah bagi mengelakkan Malaysia terjerumus ke lurah konflik hubungan antarabangsa dengan Amerika Syarikat dan China? Sesungguhnya ASEAN tidak boleh dijadikan “Zone Konflik” dan Malaysia perlu mengekalkan status “Non Allies Nation” serta bersikap lebih berkecuali atau sekurang-kurangnya tidak kelihatan "memihak". Isu sensitif ini tidak dapat dibincangkan di sini namun kita yakin ianya adalah antara perkara yang sejak awal difikirkan oleh negarawan seperti Tun M dalam usaha beliau mendesak Najib "turun tahta".

Namun, pelbagai isu termasuk 1MDB sudah menjustifikasikan bahawa rakyat tidak kira fahaman politik, bangsa dan agama seharusnya bersatu mendesak Najib dan konco-konconya melepaskan cengkaman kuasa. “The Enemy of Our Enemy is Our Friend”. Tun M dan sesiapa sahaja yang ingin mendesak Najib meletak jawatan WAJAR disokong. Ini bukan lagi terbatas atau berkisar sekadar politik tetapi kelansungan survival Negara Malaysia yang berdaulat.

Hanya segelintir di kalangan UMNO yang berkepentingan dan mempertahankan Najib, majoriti di dalam UMNO terutamanya ahli dan pemimpin akar umbi begitu marah dan kecewa dengan Najib. Natijahnya, timbullah bermacam usul, kenyataan dalam mesyuarat Cawangan dan Bahagian UMNO yg boleh dianggap sebagai anti-Najib. Lapuran polis turut dibuat terhadap Najib. Namun dengan kuasa dan segala apparatus kerajaan yang ada telah dipergunakan untuk “menutup” suara akar umbi. Begitu lah kecilnya jiwa seorang pemimpin.


POLITIK PARTI PEMBANGKANG MERESAHKAN RAKYAT

Majoriti rakyat  sejak beberapa Pilihanraya Umum (PRU) yang lepas telah melihat pakatan parti-parti pembangkang sebagai pakatan yang mampu menjadi alternatif bagi menggantikan BN. Itu adalah aspirasi rakyat dan Pakatan Rakyat terbukti merupakan kuasa politik yang mampu mencabar dan meruntuhkan ego BN. Ini telah dibuktikan di PRU13 yang lalu bila berlaku "tsunami politik". PR menjadi harapan rakyat bagi menggalas misi menumbangkan BN sekaligus menghentikan keresahan rakyat terhadap pelbagai kebejatan, kebobrokan dan keangkuhan pemerintahan BN yang dianggap menzalimi rakyat. “Power Corrupts. Absolute Power Corrupts Absolutely”. Itu yang terjadi kepada BN dan kini Najib menggunggulinya.

Namun PR turut dilambung ombak. Harapan kepada pakatan pembangkang semakin menjunam, rakyat semakin kecewa. Resah dengan politik haprak UMNO BN, rakyat terkesan dengan pertikaian dalaman Pakatan Rakyat. Bermula dari sikap “LAPAQ MICROPHONE”, segelintir pemimpin dalam PAS, PKR dan DAP mula “menembak” kawan di "lapang sasar" musuh. Sokongan rakyat membuatkan mereka “terlena” dengan jawatan dan kuasa. Media musuh mula menjadi medan bercakaran sesama sendiri.

Keadaan semakin ketara apabila cabar mencabar berlaku antara PAS dan DAP yang kemuncaknya ialah Muktamar Tahunan PAS ke 61 pada 4-6 Jun 2015 yang menyaksikan kelompok Profesional dan Progresif G18 yang digelar “JEBON” telah disingkirkan secara “en-block”. Menambah luka apabila pemimpin-pemimpin PAS pro-Ulama telah memutuskan untuk menghentikan “tahaluf siyasi” dengan DAP tetapi meneruskan kerjasama longgar dengan PKR. Suatu keputusan yang maha pelik dan hanya diterima oleh penyokong tegar PAS. Natijahnya ramai ahli PAS mula keluar dari parti dan ianya semakin ketara selepas 1 September 2015.

Keresahan rakyat terutama pendokong PR semakin mendesak yang inginkan pakatan terus membela rakyat dan WAJIB kelihatan kuat bagi menyaingi UMNO BN yang semakin lemah dan lemas. Malang bagi PR, ianya lebur kerana sikap tidak “kebersamaan” PR oleh pemimpin-pemimpin tertentu dalam PAS. Natijahnya dari tekanan NGO-NGO terutama PASMA, IKRAM dan lain-lain maka tertubuhlah Gerakan Harapan Baru oleh G18 yang ahirnya membentuk Parti  Amanah Negara (PAN) atau sinonim dengan perkataan AMANAH. Amanah diumumkan selepas himpunan Bersih 4.0 yang menyaksikan himpunan rakyat pelbagai kaum yang turun disertai oleh pemimpin PKR, PAN dan DAP malah oleh Tun M. Ianya adalah natijah dari keresahan rakyat terhadap Najib, UMNO dan BN. Kali ini “it’s beyond politics” dengan 500,000 rakyat turun ke jalanraya selama 34 jam bagi membuat 5 tuntutan utama untuk menyelamatkan negara dan mendesak Najib meletakan jawatan. Antara tuntutan adalah bagi memastikan pilihanraya yang bersih dan adil.

Selari dengan aspirasi rakyat marhaen tanggal 22 September 2015 persidangan meja bulat dianjurkan PKR dan disertai oleh PAN, DAP dan pelbagai NGO memutuskan PAKATAN HARAPAN (PH) ditubuhkan tanpa PAS yang enggan menyertainya. PH telah memberi sedikit harapan dan menjawap keresahan rakyat namun ianya masih belum mencukupi. Politik dalaman dimainkan oleh segelintir pimpinan PKR yang masih mahukan PAS atas sebab-sebab dan agenda mereka sendiri terus mencalarkan imej PKR sekaligus sekali lagi menghampakan pendokong Pakatan Harapan yang baru sahaja bertunas. Desakan demi desakan terus ditunjukkan warga siber (netizens) agar PH terus mara tanpa PAS. MB Selangor, Azmin Ali yang masih berdegil untuk mengekalkan PAS dalam kerajaan negeri telah menimbulkan suasana janggal. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (LGE) seolah-olah mengajar Azmin bagaimana dia sepatutnya melayan PH. LGE memulakan langkah mengumumkan kerajaan Pulau Pinang adalah kerajaan Pakatan Harapan. Azmin kini tersepit antara agenda bersama PAS dan aspirasi rakyat bersama PH.

Harapan rakyat yang ingin melihat PH menguasai Selangor tanpa PAS semakin memuncak. DAP memberikan kata dua kepada Azmin untuk akur dengan PH dengan menolak PAS dari kerajaan Selangor. Sekali lagi rakyat resah dengan pergelutan kuasa dalam kerajaan negeri Selangor yang seolah-olah tidak berkesudahan. Jika ini tidak ditangani, adalah tidak mustahil sokongan kepada Pakatan Harapan di PRU14 akan merudum akibat protes dan bosan dengan sikap pemimpin-pemimpin PKR yang terlibat. Malah, pihak yang mesra PAS dilanggap tidak popular dan tidak perlu disokong. Di luar sana, di merata-rata tempat perbualan biasa ialah tentang Najib, UMNO BN dan Hadi dari PAS. Rakyat marhaen kelihatan kecewa dan marah dengan dua pemimpin politik ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa dua pemimpin politik ini sangat tidak popular di kalangan rakyat pada ketika dan saat ini. Hanya penjilat mereka yang masih bermimpikan sokongan marhaen. UMNO dan PAS kelihatan serupa tapi tak sama. Kelunakan dua pemimpin berstatus "ulama" dalam PAS terhadap "derma" buat Najib sekadar mengeruhkan keadaan dan meloyakkan tekak marhaen.


EKONOMI YANG PARAH MENGHIMPIT RAKYAT

Semakin hari semakin resah rakyat dengan pentadbiran UMNO BN yang kelihatan menindas dan menekan rakyat dengan pelbagai tekanan termasuk GST, kes rasuah kepimpinan tertinggi dalam kerajaan, isu 1MDB, isu "derma" RM2.6 billion ke akaun Najib, nilai ringgit yang merudum, ekonomi yang lembab, kenaikan harga bahan bakar di Malaysia , kejatuhan harga minyak di pasaran dunia yang memberi impak negatif kepada Negara pengeluar minyak. Kenaikan kos harga barang keperluan sekaligus menjadikan kos sara hidup semakin tinggi.

Pendapatan semakin kurang, gaji tidak bertambah, syarikat besar mula membuang pekerja dan bisnes semakin susut semuanya meresahkan rakyat. Rakyat yang sebelumnya tidak merasa himpitan ini semakin terasa bahangnya. Kumpulan rakyat yang terkesan kepada hambatan ekonomi ini semakin membesar dari hari ke hari. Malangnya masih ada lagi yang terus menyokong Najib tanpa menyedari dan mengakui hakikat bahawa Malaysia diambang kehancuran kerana sokongan seperti itu hanya membawa rebah bukan sahaja bagi UMNO BN malah bagi negara Malaysia kerana sokongan kepada Najib, UMNO BN hanya mengakibatkan : -

     
  • Ekonomi dan Ringgit Malaysia terus diheret turun oleh skandal 1MDB.
  • GLC dan harta negara berterusan dijarah untuk menutup lubang hutang dan rompakan siang hari oleh "penyamun tarbus".
  • Ringgit Malaysia akan terus merudum akibat TRUST DEFICIT kepada pentadbiran Najib.
  • FDI (Foreign Direct Investment) akan merudum malah mungkin tidak akan masuk kecuali dari  negara China (Manakala video memaki Cina babi sudah viral ke negeri China dan  menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat China. Percubaan memanggil Duta Besar China hampir merosakkan “Bilateral Tie” dengan China).
  • Negara menuju kebangkrapan sepertimana Greece dgn Rezab BNM sudah semakin susut  sehingga tinggal USD106b dan kehilangan USD40b sejak usaha yang gagal menyelamatkan ringgit yang terus menjunam.
  • Syarikat-syarikat besar mula mengurangkan pekerja dan beribu rakyat Malaysia hilang pendapatan. Eksport yang semakin menyusut  dan import yang membebankan akibat kejatuhan nilai ringgit.
  • “Cost of Living” terus naik mencekik rakyat tanpa menunjukkan petanda akan reda.
  • dan banyak lagi kesan-kesan sampingan yang perlu ditanggung oleh rakyat.

Keadaan ekonomi yang semakin parah ini begitu menghimpit rakyat dan ianya mula dihubungkaitkan dengan masalah ekonomi dihadapi rakyat. Rakyat mula menjadi celik dan peka kepada politik terutamanya bagi rakyat bermaklumat di Bandar dan separa Bandar. Bertolak dari ini maka adalah dijangka akan berlaku gerakan massa dari kalangan rakyat marhaen untuk menolak UMNO BN di PRU14 nanti. Sistem "Dua Parti" seperti di negara-negara maju mula kelihatan praktikal dan relevan. Sistem ini memberi kuasa kepada rakyat memilih antara BN atau PH. Kini tiba masanya rakyat berbilang kaum, agama dan ideologi politik untuk bangkit dan berani melaksanakan perubahan. Sistem dua parti bakal memberi kuasa penentu kepada rakyat dan membuatkan parti yang memerintah tidak akan berani mengenepikan suara rakyat atau melakukan perkara sewenang-wenangnya kerana rakyat berhak beralih arah pada PRU yang akan datang. Sistem ini juga akan menyerlahkan "PEOPLE'S POWER". Rakyat harus dididik kearah pemahaman Sistem Dua Parti dan anjakan paradigma politik baru merentasi perkauman.


HAMPIR MENGHERET KEPADA KRISIS DIPLOMATIK

Sehingga ke hari ini, nilai ringgit kelihatan seolah-olah “free fall” dan tidak menunjukkan petanda akan pulih dari penyusutan. Ekonomi negara seolah-olah “terhenti” dan wang tidak lagi berlegar dalam pasaran seperti dahulu. Ditambah dengan pelabur asing yang menarik diri dan keluar dari pasaran tempatan sehinggakan Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Dr. Zeti turut menyatakan kebimbangan bahawa isu 1MDB mesti diselesaikan sebelum pemulihan ringgit boleh berlaku. Tun M di dalam blog chedit.cc turut berpandangan bahawa hanya tanpa Najib, Malaysia mampu berdiri gagah semula.

Keyakinan Tun M mempunyai asasnya kerana dengan sokongan Negara China iaitu kuasa Ekonomi terbesar dunia, Malaysia mampu berdiri semula. FDI dari China dan lain-lain negara asing dijangka mencurah masuk semula ke Malaysia kerana inilah negara paling strategik di rantau Asia Tenggara  untuk aktiviti perlaburan. Kemakmuran Malaysia suatu masa dahulu juga menjadi kunci kepada minat masyarakat antarabangsa. Himpunan baju merah yang terpalit dengan isu perkauman antara dua bangsa teras Melayu-Cina adalah sesuatu yang sangat berisiko. Ianya kelihatan seolah-olah gerakan anti-Cina yang memberikan impak negatif kepada “bilateral tie” antara Malaysia dan negara China.

Ditambah dengan polemik perkauman yang bahaya hasil Doktrin KETUANAN MELAYU ciptaan UMNO sehingga HAMPIR mengheret Duta Besar China ke Malaysia mengadap Wisma Putra, sesungguhnya ia mampu mencalarkan imej Malaysia di mata negara China. Mereka yang terlibat kelihatannya tidak sedar bahawa mereka telah begitu hampir mencetuskan krisis Diplomatik, membangkitkan kemarahan negara China dan berpotensi mencederakan “Foreign Policy” Malaysia. Ia juga bakal merosakkan hubungan Malaysia-China yang telah terbina sejak 1974 melalui kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak dan diteruskan oleh Perdana Menteri selepas beliau termasuklah Tun M.

Pada tahun 1991 di era Tun M, kerjasama ditingkatkan apabila terbentuk China-Malaysia “Strategic Consultation Meetings” yang diadakan setiap tahun secara bergilir antara Beijing dan Kuala Lumpur. Hasil ilham Tun M ianya telah mempertingkatkan kerjasama bukan sahaja dari segi perdagangan, “Foreign Affairs” dan ekonomi malah dari segi ketenteraan serta kepakaran teknologi yang menyumbang kepada kemakmuran serta kepesatan ekonomi negara. Legasi ini diancam kemusnahan  dengan gelagat segelintir kumpulan ultra-Melayu yang tidak lansung memikirkan kepentingan ekonomi Malaysia.

Masa depan Malaysia dan rakyatnya kelihatan suram,malah melalui laluan berliku bermula dari kemelut politik yang meresahkan sehinggalah kepada keperitan akibat himpitan ekonomi yang terus menerus membuatkan rakyat merasa bosan, keliru dan hampa. APAKAH MASIH ADA SINAR BUAT MALAYSIA?? APAKAH MASIH ADA CAHAYA DIHUJUNG TEROWONG? Itulah persoalan yang paling besar dibenak hati rakyat yang cakna dan patriotik. TIDAK BOLEH TIDAK, JALAN KELUARNYA ADALAH MELALUI JALAN POLITIK, KUASA DAN EKONOMI. UMNO BN SUDAH TIDAK LAGI RELEVAN. NOKTAH!!

Wallahualam.


TAPAI
02.10.2015


No comments:

Post a Comment

Kepada yang nak memberikan komen, sila patuhi syarat-syarat ini.

1. Sila guna bahasa yang berakhlak. Caci maki hamun tidak dibenarkan.
2. Sila guna nama sendiri atau nama samaran. Komen tanpa nama (anonymous) tidak akan dibenarkan.
3. Fakta kena jelas. Auta kena pulas.
4. Anda dipertanggungjawabkan atas komen anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...